The Red Giants

EN
MY
Selangor FC
SELANGOR FC
BERITA

Selangor Mara Ke Suku Akhir Piala Malaysia: 3 Perkara Signifikan Dari Kemenangan Ke Atas Kuching City

Nov 04, 2021 - FAS

Perlawanan semalam sememangnya sukar untuk anak-anak buah Karsten Neitzel yang bermain di tempat lawan menentang Kuching City dalam Perlawanan Ke-4 TM Piala Malaysia 2021.

Kejayaan bagaimanapun milik Selangor FC, dengan pemain gantian, Nik Sharif Haseefy menjaringkan gol kemenangan pada minit-minit akhir perlawanan dan mengesahkan tiga mata milik Gergasi Merah.

Kita imbas kembali tiga perkara signifikan yang dapat digariskan dalam kemenangan 2-1 Red Giants ke atas Kuching City semalam.

1. Mengapa perlu tukar sesuatu yang sedang “menjadi”?

Di Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos semalam, ketua jurulatih, Karsten Neitzel menurunkan barisan pemain yang agak luar biasa; ia adalah kesebelasan utama pemain yang sama yang memulakan perlawanan Sabtu lalu di laman sendiri untuk menentang lawan yang sama.

Ia adalah satu keputusan yang mudah untuk dibuat untuk beliau, memandangkan perlawanan di Stadium MBPJ telah berakhir dengan kemenangan 5-1 untuk anak buahnya. Keputusannya untuk sekali lagi menurunkan skuad muda menentang pasukan Liga Perdana itu juga boleh difahami memandangkan pertembungan seterusnya menentang pasukan pilihan Kumpulan B, Terengganu FC pada hari Ahad ini.

Akhirnya, walaupun perlawanan di Larkin ternyata lebih sukar berbanding pertemuan di tempat sendiri sebelum ini, pemain Selangor FC membuktikan bahawa mereka mempunyai keberanian untuk memenuhi kemahuan Karsten, seterusnya membawa pulang tiga mata.

2. Danial terus mempamerkan persembahan yang baik

Keputusan ketua jurulatih untuk mengekalkan penyerang muda Selangor, Ahmad Danial Asri dalam kesebelasan utama bermakna beliau sekali lagi diberikan kepercayaan untuk menggalas tugas sebagai penyerang utama, yang pada hari Sabtu lalu mempamerkan aksi lima bintang untuk menjaringkan dua gol.

Biarpun tidak diberikan banyak ruang dan dikawal lebih ketat berbanding perlawanan pusingan pertama yang lalu, pemain yang berusia 21 tahun itu masih menjadi ancaman terhadap pasukan tuan rumah.

Danial tidak mengambil masa yang lama untuk menunjukkan taringnya, apabila pada minit ke-18, beliau bijak memperdaya pertahanan pasukan lawan dan membuka tirai jaringan dengan tandukan yang tepat.

Beliau kekal menjadi ancaman utama kepada gawang gol Kuching City dengan beberapa percubaan berbahaya seperti termasuk lambungan cantik pada separuh masa kedua yang hampir-hampir menjadi gol ke-2 Gergasi Merah semalam.

Beliau kemudiannya diberi rehat awal tetapi melihat kepada prestasinya yang berada di tahap terbaik, sudah pasti pemain dari Rawang itu akan mendapat lebih bayak peluang untuk melebarkan pungutan gol peribadinya iaitu sebanyak tiga gol dari tiga penampilan Piala Malaysia musim ini.

3. Perlawanan Yang Besar Ahad Ini

Kemenangan ketiga dalam Kumpulan B sudah cukup untuk mengesahkan tempat kita di peringkat suku akhir dengan dua perlawanan dalam tangan. Tetapi, tugas itu masih belum selesai kerana kita akan menentang pendahulu kumpulan yang juga merupakan pasukan pilihan, Terengganu FC di laman sendiri Ahad ini.

Kemenangan menentang skuad Penyu akan menjadikan peluang Red Giants lebih cerah untuk menamatkan peringkat kumpulan sebagai di tempat pertama, demi memastikan laluan yang lebih mudah di peringkat suku akhir.

Tambahan pula, kemenangan menentang lawan yang telah menewaskan kita tiga kali musim ini akan membantu membangkitkan semangat dan keyakinan Selangor FC menjelang perlawanan yang lebih mencabar di peringkat kalah mati.

Selangor FC berharap dapat melihat lebih ramai penyokong ke Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada hari Ahad ini untuk membakar semangat juang Gergasi Merah. Maklumat mengenai jualan tiket akan dimaklumkan melalui media sosial rasmi kami kelak.

Disediakan oleh: Zulhilmi Zainal